5.20.2009

TUMPU PENGUNDI MUDA UNTUK RAMPAS KERUSI LEMBAH PANTAI



UMNO Lembah Pantai harus memberi perhatian khusus kepada pengundi muda dalam usaha untuk merampas semula kawasan Parlimen Lembah Pantai yang dimenangi pembangkang.

Ketua UMNO Lembah Pantai yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, menurut perangkaan, kira-kira empat juta pengundi muda akan menyertai pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, trend semasa pula menunjukkan golongan itu lebih cenderung kepada parti pembangkang.

"Ahli-ahli UMNO perlu merapatkan barisan dan berhenti merajuk selepas selesai pemilihan Mac lalu untuk mendekati golongan muda ini yang menjadi penentu kerajaan masa depan. UMNO perlu mengubah cara mendekati rakyat terutama golongan muda dengan mendampingi mereka secara lebih rapat untuk menyelami masalah mereka dan tanpa banyak protokol," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan UMNO 2009 Bahagian Lembah Pantai yang turut dihadiri oleh kira-kira 1200 ahli UMNO Lembah Pantai.

Raja Nong Chik berkata, beliau yakin semua itu boleh dicapai jika ahli UMNO di semua peringkat melupakan segala masalah yang ada dan bekerja keras demi meraih semula sokongan rakyat.

Beliau berkata, ahli UMNO perlu sedar suasana politik semasa memerlukan mereka bersatu dan berjuang mengatasi pelbagai emosi negatif yang wujud.

Mengenai masalah setinggan di Wilayah Persekutuan, beliau berkata, misi untuk mencapai setinggan sifar di bandar raya Kuala Lumpur sukar dicapai jika mereka mengenakan pelbagai syarat.

Antara syarat yang sukar dipenuhi kerajaan ialah pemberian tanah dan pelbagai bentuk pampasan lain yang diingini sebelum mereka bersetuju untuk berpindah ke pangsapuri yang disediakan.

No comments: