9.20.2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Assalamualaikum wbt. Di penghujung Ramadhan, kami warga Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai, WP ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan serata dunia. Kami berharap hari lebaran esok akan disambut dengan penuh keinsafan dan kesyukuran atas limpah kurnia Allah swt kepada negara kita.

Khusus kepada pembaca blog Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai, serta sesiapa yang mengikuti perkembangan Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai melalui platform yang lain, kami menyusun jari memohon ampun maaf sekiranya ada sebarang kesilapan yang diperlakukan atau terserlah mana-mana kekurangan kami selaku hamba Allah yang biasa. Semoga Syawal ini akan membawa kepada perpaduan di antara kita rakyat 1Malaysia - memperkasakan ummah demi kesejahteraan semua.

Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai, WP
www.pemudalembahpantai.blogspot.com

9.17.2009

PEMUDA UMNO: 60 tahun meniti perjuangan



Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh
www.sahabat-gunung.com


Pergerakan Pemuda UMNO adalah Pergerakan politik yang tulus, Pergerakan yang telah menempa pelbagai sejarah politik semenjak Jabatan Pemuda sehinggalah ke hari ini.

Pada 26 Ogos 1949, Pergerakan Pemuda UMNO dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang. Satu peristiwa bersejarah dalam perjuangan pembinaan sebuah Negara. Dengan matlamat mebawa kesedaran bahawa sumbangan dan peranan tenaga muda amat penting dalam meneruskan agenda membentuk sebuah bangsa yang bermaruah dan bermartabat.

Mulai dari itulah, harapan yang sangat tinggi diletakkan kepada Pemuda dengan memberikan tugas dan peranan menjadi jurubicara kepada rakyat dan orang Melayu khususnya. Sejak dilahirkan, pemimpin Pemuda UMNO yang diamanahkan ini juga telah menyumbang dan memainkan mereka dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh semangat mengharungi segala kepayahan, kesukaran dengan tidak mengenal erti kecewa dan putus asa.

Hari ini, dalam alaf baru Pemuda UMNO turut menggalas suatu perjuangan yang belum selesai. Di hadapannya merintang pelbagai cabaran dan dugaan. Kerap kali ia tercalar akibat segala bentuk cemuhan dan kritikan. Namun, dalam perjuangan, Pemuda tentunya tidak akan tunduk dan gentar untuk berhadapan dengan cacian, cemuhan cabaran dan segala dugaan-dugaan ini. Perjuangan menuntut pengorbanan. Pemuda UMNO kini, dalam kapasitinya yang ada, perlu bangkit memperkasa dirinya bagi mendaulatkan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

Perubahan politik dan pemikiran serta isu-isu yang semakin terkini tidak terlepas daripada keprihatinan Pemuda UMNO. UMNO lahir daripada rakyat, Justeru Pemuda UMNO semakin prihatin dengan perkembangan yang berlaku yang membabitkan isu-isu rakyat. Pemuda semakin prihatin untuk bertindak pantas, tepat dan betul tanpa mengabaikan tanggungjawabnya yang mewakili jiwa rakyat. Namun Pemuda perlu akur akan kekurangan dan keterbatasan. Tetapi ia tidak akan menjadi penyebab untuk tidak bertindak dan berjasa.

Atas keprihatinan inilah maka Pemuda UMNO perlu melakukan muhasabah diri bersungguh-sungguh. Ia perlu berlaku jujur terhadap dirinya, tanpa merasakan bahawa dirinya tidak sewajarnya ditegur atau tidak sewajarnya bergerak dari pangkalan yang pernah disinggahinya.

Destinasi dan perjuangan Pemuda UMNO masih jauh di hadapan. Persinggahan untuk sementara waktu di sebuah pangkalan, tidak akan membiarkan Pemuda UMNO terus kealpaan dan kelasi-kelasinya pula terus dibuai mimpi. Dalam semangat baru yang dibawa kini, ia memerlukan tali dilepaskan dan sauh diangkat untuk meneruskan pelayaran perjuangan parti di lautan yang penuh dengan gelombang keganasan dan dingin.

Pemuda UMNO terus diuji.... ujian demi ujian malah kekalahan pada setiap Pilihan Raya Kecil sejak kepimpinan Pemuda UMNO diambil alih oleh YB Khairy Jamaluddin Mac lalu, BN hanya menang di Batang Ai sedangkan Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai, Permatang Pasir kecuali di Penanti.... BN tewas kepada Pakatan Rakyat.

Kini, Pemuda diuji lagi dengan pilihan raya di Bagan Pinang, selepas Aidil Fitri ini. Ini dilihat sebagai kayu pengukur kekuatan Pemuda di bawah teraju YB KJ bagi mempertahankan kerusi BN kerana sebelum ini, BN dan Pemuda hanya berusaha merampas kerusi daripada Pakatan Rakyat.

Sesungguhnya kekalahan sebelum ini bukanlah kayu pengukur sebenar penolakan rakyat kepada UMNO dan BN, bukan juga kelemahan Pemuda dalam menjalankan gerak kerja, namun ia merupakan bukti bahawa demokrasi terus subur di negara kita ini. Pemuda akan terus bekerja keras untuk memastikan kesinambungan perjuangan UMNO, seterusnya mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO khususnya sokongan generasi muda.

Pemuda UMNO harus memainkan peranan aktif dalam setiap gerakkerja pilihan raya yang bakal kita hadapi. Di sebalik semangat berkobar-kobar, Pemuda UMNO jangan terikut-ikut rentak ganas dan ektremis pakatan pembangkang. Pemuda UMNO perlu berdisiplin, memberikan tumpuan dan fokus utama untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Dalam masa yang sama, krisis dalaman parti dalam usaha membersihkan UMNO daripada najis politik perasuah juga akan menjadikan Pemuda UMNO bertindak dengan lebih berani dan berjurus. Cabaran ini memerlukan kekuatan dan kesungguhan politik Pemuda UMNO dan pemimpin tertinggi UMNO untuk sama-sama menggembleng tenaga dan melancarkan jihad memerangi politik wang. Tanggungjawab Pemuda UMNO ini akan dianggap sebagai usaha habis-habisan untuk menobatkan semula perjuangan parti.

Sekiranya tidak dijalankan usaha besar-besaran ini, UMNO akan menghadapi krisis dalaman yang lebih besar. Ini disebabkan pemimpin sebenar tidak mampu menaiki tangga kepimpinan, sebaliknya pemimpin-pemimpin siaran dan siulan yang akan dipilih kerana punca kewangan mereka. Akibatnya perwakilan memilih mereka yang mampu dan bukannya mereka yang berkebolehan.

Langkah ke arah pembugaran semula perjuangan Pemuda UMNO dan UMNO amnya hanya dapat terlaksana sekiranya ahli-ahli UMNO benar-benar berdisiplin dan setia dengan perjuangan. Kesetiaan dengan perjuangan belum mampu untuk menggerakkan parti sekiranya tiada disiplin yang kuat untuk mengungguli perjuangan. Disiplin bekerja yang kuat tanpa wujud kasih dan setia kepada parti juga tidak akan membawa kejayaan kepada parti. Kedua-duanya perlukan ikatan yang kukuh.

Namun cabaran Pemuda UMNO dalam abad baru ini bukan sekadar mengembalikan semula imej kepemudaannya. Kini masyarakat semakin terbuka dan akan menilai intipati yang dibawa oleh Pemuda UMNO.

Gerak kerja yang bersungguh-sungguh dan keyakinan akan perjuangan yang suci ini akan membuktikan perjuangan Pemuda UMNO bukan sekadar tukang isi ruang-ruang kosong, tetapi akan bertindak sebagai pemangkin perjuangan UMNO dan pembentuk sejarah.

9.16.2009

Sekitar Majlis Penyerahan Bubur Lambuk Pemuda UMNO





Sekitar Majlis Penyerahan Bubur Lambuk Pemuda UMNO Lembah Pantai di Pasar Malam PPR Kerinchi kepada masyarakat... petang tadi 16 Sep 2009.

9.14.2009

BERSATU & BERKHIDMAT - Dalam Usaha Raih Semula Sokongan Rakyat

Pemuda UMNO Lembah Pantai menetapkan dua perkara asas iaitu bersatu dan berkhidmat yang mesti dilaksanakan dengan komitmen tinggi oleh ahlinya bagi membolehkan parti itu meraih semula kepercayaan rakyat pada pilihan raya umum akan datang, khususnya di Lembah Pantai.

Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai, Hj Sazali Kamilan berkata, ia harus diterjemahkan kepada tindakan oleh ahli dan kepemimpinan Pemuda UMNO dari peringkat bahagian hinggalah ke peringkat cawangan kerana ia akan dinilai rakyat dan masyarakat, lantas gerak kerja dan segala tindakan Pemuda UMNO akan dijadikan ukuran untuk mendapatkan semula sokongan mereka pada pilihan raya akan datang.

"Kita perlu bersatu dengan mengetepikan segala permasalahan dalaman dan kembali menyusun gerakan untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Saya yakin jika ia dapat diterapkan ke dalam hati setiap ahli Pemuda UMNO Lembah Pantai, kita bakal mendapat kepercayaan semula rakyat yang akan menyokong kita pada pilihan raya akan datang.

"Ahli UMNO perlu bersungguh-sungguh mendokong aspirasi parti untuk berjuang dan berkhidmat kepada rakyat dan negara. Kita akan susun gerak kerja untuk membolehkan kita bekerja dengan lebih sistematik," saranannya kepada Kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian serta Ketua-Ketua Pemuda dan Puteri UMNO Cawangan dalam Lembah Pantai dalam majlis Berbuka Puasa bersama kepimpinan Pemuda semalam.

Beliau turut mahu program-program yang boleh merapatkan hubungan sesama Pemuda Bahagian dan Puteri dapat dijalan dengan lebih kerap, selain menjadi tempat berbincang dan merencana aktiviti-aktiviti berfaedah untuk kepentingan bersama.

“Program sebegini menjadi platform terbaik, dalam melangkah ke medan perjuangan untuk merampas semula kerusi Parlimen Lembah Pantai, komitmen dan kerjasama Pemuda-Puteri yang juga merupakan gabungan bersama dalam Unit IT UMNO bahagian Lembah Pantai, kita harus bergerak bersama memberi penerangan dan melawan dahyah-dahyah palsu Pakatan Rakyat yang mahu terus mendapat kepercayaan tanpa sebarang aktiviti ke arah pembangunan masyarakat yang dibuat mereka di Lembah Pantai.

Marilah kita bersatu, bekerjasama demi sebuah perjuangan

Pemuda harus mengorak langkah dengan memberi penumpuan dan penekanan kepada penduduk di kawasan-kawasan dan cawangan kita dalam usaha mendekatkan diri dengan golongan muda di kawasan tersebut. Pemuda cawangan harus mendekatkan diri dengan pengundi muda di kawasan mereka serta mengenal pasti permasalahan mereka.

“Kebanyakan isu yang dibangkitkan penduduk kawasan terbabit seperti masalah pengurusan sampah, persekitaran, tempat letak kereta serta permintaan untuk membeli rumah berkenaan daripada hanya disewakan, juga merupakan masalah kita maka menjadi tanggungjawab kita agar permasalahan yang dibangkitkan ini, Pemuda UMNO perjuangkan dan kita akan berusaha untuk membantu mereka mendapat peluang untuk hidup lebih selesa agar mereka tidak rasa kehimpitan tinggal di bandar.”





9.13.2009

Pemuda di Sekitar Mesyuarat Khas UMNO Lembah Pantai

Sekitar Mesyuarat Khas UMNO Lembah Pantai petang semalam.... Dato Raja Nong Chik nasihatkan kepimpinan UMNO bahagian dan kepimpinan sayap-sayap UMNO Lembah Pantai dan UMNO cawangan untuk terus berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat. Lupakan segala sengketa lama dan kepentingan diri untuk pastikan UMNO/BN Lembah Pantai kembali merebut hati masyarakat di Lembah Pantai di masa akan datang.




9.11.2009

MAJLIS GOTONG ROYONG WARGA BLOK C PPR LEMBAH PANTAI


Penduduk Blok C PPR Lembah Pantai telah mengadakan Majlis Gotong Royong menyimen ruang bawah blok untuk yang sebelum ini berpasir dan selalu menjadi tempat air bertakung.Sumbangan berupa simen dan pasir telah diberikan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai untuk mereka menjalankan program tersebut.

9.04.2009

SEKITAR MAJLIS RAMADHAN BERSAMA RAKYAT DI PPR KERINCI LEMBAH PANTAI



Gambar sekitar Majlis Nur Ramadhan peringkat Wilayah Persekutuan serta Majlis penyerahan pampasan kepada penduduk PPR Kerinchi Lembah Pantai yang telah dirasmikan oleh YB Senator Dato' Raja Nong Chik Raja Dato' Zainal Abidin bertempat dipadang PPR Kerinchi Lembah Pantai.Bantuan yang diberi bukan sahaja pada mereka yang beragama Islam tetapi merangkumi juga pada agama serta bangsa lain.Ini menunjukkan semangat Satu Malaysia berjaya untuk menyatukan semua bangsa di negara kita.Dianggarkan lebih dari 5000 rakyat yang menghadiri program
tersebut.