9.17.2009

PEMUDA UMNO: 60 tahun meniti perjuangan



Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh
www.sahabat-gunung.com


Pergerakan Pemuda UMNO adalah Pergerakan politik yang tulus, Pergerakan yang telah menempa pelbagai sejarah politik semenjak Jabatan Pemuda sehinggalah ke hari ini.

Pada 26 Ogos 1949, Pergerakan Pemuda UMNO dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang. Satu peristiwa bersejarah dalam perjuangan pembinaan sebuah Negara. Dengan matlamat mebawa kesedaran bahawa sumbangan dan peranan tenaga muda amat penting dalam meneruskan agenda membentuk sebuah bangsa yang bermaruah dan bermartabat.

Mulai dari itulah, harapan yang sangat tinggi diletakkan kepada Pemuda dengan memberikan tugas dan peranan menjadi jurubicara kepada rakyat dan orang Melayu khususnya. Sejak dilahirkan, pemimpin Pemuda UMNO yang diamanahkan ini juga telah menyumbang dan memainkan mereka dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh semangat mengharungi segala kepayahan, kesukaran dengan tidak mengenal erti kecewa dan putus asa.

Hari ini, dalam alaf baru Pemuda UMNO turut menggalas suatu perjuangan yang belum selesai. Di hadapannya merintang pelbagai cabaran dan dugaan. Kerap kali ia tercalar akibat segala bentuk cemuhan dan kritikan. Namun, dalam perjuangan, Pemuda tentunya tidak akan tunduk dan gentar untuk berhadapan dengan cacian, cemuhan cabaran dan segala dugaan-dugaan ini. Perjuangan menuntut pengorbanan. Pemuda UMNO kini, dalam kapasitinya yang ada, perlu bangkit memperkasa dirinya bagi mendaulatkan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

Perubahan politik dan pemikiran serta isu-isu yang semakin terkini tidak terlepas daripada keprihatinan Pemuda UMNO. UMNO lahir daripada rakyat, Justeru Pemuda UMNO semakin prihatin dengan perkembangan yang berlaku yang membabitkan isu-isu rakyat. Pemuda semakin prihatin untuk bertindak pantas, tepat dan betul tanpa mengabaikan tanggungjawabnya yang mewakili jiwa rakyat. Namun Pemuda perlu akur akan kekurangan dan keterbatasan. Tetapi ia tidak akan menjadi penyebab untuk tidak bertindak dan berjasa.

Atas keprihatinan inilah maka Pemuda UMNO perlu melakukan muhasabah diri bersungguh-sungguh. Ia perlu berlaku jujur terhadap dirinya, tanpa merasakan bahawa dirinya tidak sewajarnya ditegur atau tidak sewajarnya bergerak dari pangkalan yang pernah disinggahinya.

Destinasi dan perjuangan Pemuda UMNO masih jauh di hadapan. Persinggahan untuk sementara waktu di sebuah pangkalan, tidak akan membiarkan Pemuda UMNO terus kealpaan dan kelasi-kelasinya pula terus dibuai mimpi. Dalam semangat baru yang dibawa kini, ia memerlukan tali dilepaskan dan sauh diangkat untuk meneruskan pelayaran perjuangan parti di lautan yang penuh dengan gelombang keganasan dan dingin.

Pemuda UMNO terus diuji.... ujian demi ujian malah kekalahan pada setiap Pilihan Raya Kecil sejak kepimpinan Pemuda UMNO diambil alih oleh YB Khairy Jamaluddin Mac lalu, BN hanya menang di Batang Ai sedangkan Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai, Permatang Pasir kecuali di Penanti.... BN tewas kepada Pakatan Rakyat.

Kini, Pemuda diuji lagi dengan pilihan raya di Bagan Pinang, selepas Aidil Fitri ini. Ini dilihat sebagai kayu pengukur kekuatan Pemuda di bawah teraju YB KJ bagi mempertahankan kerusi BN kerana sebelum ini, BN dan Pemuda hanya berusaha merampas kerusi daripada Pakatan Rakyat.

Sesungguhnya kekalahan sebelum ini bukanlah kayu pengukur sebenar penolakan rakyat kepada UMNO dan BN, bukan juga kelemahan Pemuda dalam menjalankan gerak kerja, namun ia merupakan bukti bahawa demokrasi terus subur di negara kita ini. Pemuda akan terus bekerja keras untuk memastikan kesinambungan perjuangan UMNO, seterusnya mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO khususnya sokongan generasi muda.

Pemuda UMNO harus memainkan peranan aktif dalam setiap gerakkerja pilihan raya yang bakal kita hadapi. Di sebalik semangat berkobar-kobar, Pemuda UMNO jangan terikut-ikut rentak ganas dan ektremis pakatan pembangkang. Pemuda UMNO perlu berdisiplin, memberikan tumpuan dan fokus utama untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Dalam masa yang sama, krisis dalaman parti dalam usaha membersihkan UMNO daripada najis politik perasuah juga akan menjadikan Pemuda UMNO bertindak dengan lebih berani dan berjurus. Cabaran ini memerlukan kekuatan dan kesungguhan politik Pemuda UMNO dan pemimpin tertinggi UMNO untuk sama-sama menggembleng tenaga dan melancarkan jihad memerangi politik wang. Tanggungjawab Pemuda UMNO ini akan dianggap sebagai usaha habis-habisan untuk menobatkan semula perjuangan parti.

Sekiranya tidak dijalankan usaha besar-besaran ini, UMNO akan menghadapi krisis dalaman yang lebih besar. Ini disebabkan pemimpin sebenar tidak mampu menaiki tangga kepimpinan, sebaliknya pemimpin-pemimpin siaran dan siulan yang akan dipilih kerana punca kewangan mereka. Akibatnya perwakilan memilih mereka yang mampu dan bukannya mereka yang berkebolehan.

Langkah ke arah pembugaran semula perjuangan Pemuda UMNO dan UMNO amnya hanya dapat terlaksana sekiranya ahli-ahli UMNO benar-benar berdisiplin dan setia dengan perjuangan. Kesetiaan dengan perjuangan belum mampu untuk menggerakkan parti sekiranya tiada disiplin yang kuat untuk mengungguli perjuangan. Disiplin bekerja yang kuat tanpa wujud kasih dan setia kepada parti juga tidak akan membawa kejayaan kepada parti. Kedua-duanya perlukan ikatan yang kukuh.

Namun cabaran Pemuda UMNO dalam abad baru ini bukan sekadar mengembalikan semula imej kepemudaannya. Kini masyarakat semakin terbuka dan akan menilai intipati yang dibawa oleh Pemuda UMNO.

Gerak kerja yang bersungguh-sungguh dan keyakinan akan perjuangan yang suci ini akan membuktikan perjuangan Pemuda UMNO bukan sekadar tukang isi ruang-ruang kosong, tetapi akan bertindak sebagai pemangkin perjuangan UMNO dan pembentuk sejarah.

1 comment:

Faizal Zakaria's Blog said...

Sudah tentu pemuda sudah boleh membuat keputusan yang berani dan tepat..














Reformasi Dan Transformasi – Generasi Muda Perlu Bersiap Sedia
>>> Forum 1 Malaysia <<<