10.20.2008

DEMI UMNO- JANGAN JADI ASKAR UPAHAN

Kita harus sentiasa ingat bahawa Parti UMNO dilahirkan atas himpunan semangat kebangsaan Melayu yang tulen untuk memperjuangkan kebebasan, keadilan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya Orang Melayu. UMNO mengamalkan prinsip demokrasi, bukannya sistem diktator ataupun kuku besi. UMNO sentiasa mengutuk penindasan dan penyelewengan kuasa, ataupun mereka-mereka yang GILA KUASA. UMNO mendapat kuasa pemerintahan negara melalui undi dari rakyat, bukannya menerusi ugutan dan rasuah.

Pendekkata, UMNO adalah parti yang ditaja oleh rakyat. Ini bermakna kita bukanlah ditaja oleh golongan atau pemimpin-pemimpin tertentu yang mempunyai niat yang tidak baik, niat yang terpesong dari falsafah perjuangan sebenar UMNO. Sedarlah, sedarlah tuan-tuan dan sidang perwakilan, sedarlah bahawa, perjuangan yang ditaja dengan wang ringgit atau lebih mudah saya katakan, rasuah politik, ia bukan sahaja akan mendatangkan kesan kepada pengamalnya, tetapi lebih teruk lagi ia akan mendatangkan kesan yang cukup buruk kepada UMNO itu sendiri.

Sanggup kita kita mengadai UMNO semata-mata permainan wang ringgit ini? Sanggupkah kita melihat UMNO hancur, UMNO lemah dek permainan politik wang yang berlaku pada hari ini?

Oleh itu, kita jauhkan diri kita daripada menjadi calon tajaan berlandaskan wang ringgit semata-mata. Jauhkan diri dari menjadi calon bagi kepentingan kelompok atau pemimpin-pemimpin tertentu dan jauhkan diri dari politik sempit mereka yang berkepentingan diri sendiri, bukannya perjuangan yang berlandaskan falsafah perjuangan UMNO.

Kita juga harus melihat amalan politik wang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi. Budaya politik wang tidak memberi kesaksamaan kepada setiap ahli mendapat peluang yang sama dalam parti. Politik wang akan membawa UMNO kembali kepada amalan di zaman Jahiliah- yang kaya menggunaan kekayaan untuk menjadi Tuan, sementara yang miskin bakal menjadi hamba suruhan. Malah lebih malang lagi, jika tuan yang dimaksudkan itu terdiri daripada golongan bangsa lain. Atas suara dan semangat demokrasi, setiap ahli UMNO di semua peringkat harus berpegang tegas dan menyokong penuh usaha pimpinan parti untuk membersihkan UMNO dari amalan buruk ini, ibarat kata peribahasa Melayu: Jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah.

Saya berharap supaya setiap seorang ahli UMNO tidak mengizinkan diri kita untuk menjadi askar upahan semata-mata wang ringgit. Kita perlu sentiasa ingat bahawa perjuangan kita hari ini bukan sekadar untuk memenuhi kepuasan nafsu kuasa diri kita sendiri, tetapi kepuasan ahli-ahli dan keseluruhan masyarakat yang kita wakili pada hari ini.

No comments: