10.18.2008

REBUT JAWATAN HINGGA TERLUPA MELAYU PERNAH TERJAJAH

Sungguh sukar untuk kita menerima hakikat senario dan iklim politik kita pada hari ini. Dalam keadaan UMNO dan BN berada di dalam persimpangan, sukar bagi orang Melayu memikir akan keadaan semasa kita dijajah dulu. Yang kita tahu pada hari ini adalah merdeka, hari ini kita mempunyai kerajaan yang merdeka, kerajaan yang kita kuasai dan kerajaan yang boleh melindungi kita. Tapi sampai bila kita akan mempunyai kerajaan yang merdeka, kerajaan yang kita kuasai dan sebuah kerajaan yang boleh melindungi kita?

Apa yang kita tahu; apa sahaja yang kita buat, apa sahaja yang orang Melayu buat pada hari ini…. Melayu akan tetap selamat dan dilindungi Kerajaan. Sebab kita percaya, Malaysia tidak akan tergamak menyediakan sebuah kerajaan yang akan mengabaikan kepentingan Melayu dan Islam. Hingga kita dimomokkan bahawa jika kita berpecah dan berperang sesama sendiripun, orang Melayu akan tetap selamat.

Sedarlah, bahawa kita masih lemah. Kita lemah dalam semua bidang. Lemah dari segi ekonominya, lemah dari segi ilmunya, kurang cerdik, mudah disogok, menjadi penagih dadah dan penghidap berbagai penyakit-penyakit kronik, AIDS contohnya…. Tapi ada antara kita yang percaya bahawa apa sahaja yang kita buat pada hari ini, Melayu akan tetap selamat dan dilindungi oleh Kerajaan Malaysia.

Apa yang kita nampak pada hari ini ialah politik demokrasi yang memberi jalan mudah untuk mendapat sesuatu bagi kepentingan diri sendiri. Sedikit sahaja usaha yang dibuat, namun keuntungan yang didapati amat besar. Terus terang aku katakan di sini, UMNO dan parti-parti Melayu yang lain pun, apa yang diutamakan ialah PEREBUTAN PANGKAT, KEDUDUKAN dan TEMPAT . Keupayaan memberi khidmat atau menyumbang kepada kebaikan, kepada pembangunan orang Melayu, kepada pembangunan Negara …tidak lagi penting bagi mereka.

SEDARLAH, perebutan inilah yang membawa kepada keruntuhan akhlak hingga ada antara kita, kawan-kawan kita malah saudara kita sendiripun sanggup kita caci sesama sendiri, sanggup kita jatuhkan dan kita tuduh dengan berbagai-bagai tohmahan yang fitnah, demi merebut tempat dalam politik. Rasuah sanggup dihulur, agama sanggup diputar-belitkan dan bangsa dipecah-belahkan. Tidak ada langsung penghargaan kepada jasa dan bakti. Kita cantas, kita kebas, kita buat apa sahaja untuk mencapai cita-cita besar kita. Matlamat menghalalkan cara, itulah pegangan segelintir dari kita pada ketika ini.

Kalau kita sayang anak-anak kita, sayang adik-adik kita, sayang ibu-bapa kita, sayang pada agama, bangsa dan negara kita- SAYANGILAH UMNO. Kukuhkan keimanan kita, setialah kepada perlembagaan dan taatilah peraturan yang telag ditetapkan oleh parti. Orang yang berkempen secara keterlaluan, mengamalkan politik wang dan MENIUP KETUANAN INDIVIDU, semangat berpuak dan kumpulan tertentu adalah mereka yang TIDAK MENYAYANGI UMNO. Orang yang menyalahi sistem, perlembagaan dan peraturan UMNO juga orang-orang yang TIDAK MENYAYANGI UMNO, orang-orang yang MENGKHIANATI UMNO dan orang-orang yang MENGKHIANATI MELAYU DAN ISLAM.

Maka, kita harus memastikan masa depan UMNO, masa depan MELAYU dan masa depan ISLAM selamat dari pengkhianatan. Pengkhianatan ini ada kalanya tidak dapat ditepis sekadar menerusi perlembagaan dan peraturan, tetapi pengkhianat ini boleh disingkir dengan kesepakatan, keberanian dan kebijaksaan kita, orang-orang yang amat menyayangi UMNO.

No comments: