10.17.2008

Kenyataan Media

YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

Kuala Lumpur, Jumaat, 17 Oktober 2008


Saya serta seluruh barisan kepimpinan Pemuda UMNO dan seluruh generasi muda negara ini, menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada ke bawah duli Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu di atas kenyataan khas mengingatkan seluruh rakyat tentang asas kenegaraan Malaysia yang sudah berlandas kukuh sejak kemerdekaan yang telah membawa negara sehingga ke tahap seperti yang ada pada hari ini.

Kenyataan khas itu adalah tanda kasih sayang dan keprihatinan Sultan dan Raja-Raja Melayu kepada kepentingan asas penubuhan Malaysia, keharmonian hubungan di antara kaum dipelihara, kedudukan agama Islam dan Sistem Raja Berpelembagaan dihormati supaya sentiasa kekal bersatu padu, harmoni, aman dan makmur.

Kenyataan dan pendirian ini sememangnya dinantikan dan saya amat bersyukur kerana saya yakin Institusi Raja-raja ini adalah kekuatan Negara kita di mana ia bukan hanya melindungi orang-orang Melayu sahaja malah memayungi rakyat Malaysia keseluruhannya. Saya percaya rakyat Malaysia juga amat berbangga dan berterima kasih dengan peringatan yang dibuat kerana ia mencerminkan bahawa yang sedang kita pertahankan adalah institusi Raja-raja sebagai lambang perpaduan di Negara ini dan bukan kepada mana-mana individu atau kumpulan.

Saya menyeru dan berharap, agar semua pihak mengambil perhatian serius kepada peringatan Majlis Raja-Raja itu bahawa dalam keadaan apa sekali pun kita perlu bertanggungjawab dan tidak boleh membenarkan serta mempersoalkan asas kenegaraan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini.

Kenyataan itu membuktikan tahap keseriusan suasana yang berlaku hari ini boleh menjurus kepada sesuatu yang boleh mengancam kedudukan negara jika tidak dihentikan. Jangan ada mana-mana pihak menyalah anggap kenyataan Majlis Raja-Raja itu dan mengaitkannya dengan agenda atau kepentingan kaum-kaum tertentu saja.

Maka kami mahu soal-soal yang termaktub dalam perlembagaan Persekutuan berkaitan institusi Raja-Raja Melayu, keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipersoalkan lagi pada masa depan.

Kita perlu sedar bahawa kedudukan dan hak keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak pernah dipertikaikan oleh rakyat di Negara ini tetapi ia sering kali digunakan oleh segelintir pemimpin demi kepentingan mereka semata-mata.

Marilah kita bersama-sama mengambil peringatan penting ini supaya negara kita sentiasa berada pada landasan keamanan, keharmonian sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Apa yang lebih penting ialah untuk kita lebih proaktif memainkan peranan dan memberi sumbangan bermakna kepada pengukuhan negara sehingga membawa Malaysia ke puncak kecemerlangan.

Pada masa yang sama kenyataan khas Majlis Raja-Raja itu juga secara tidak langsung mengingatkan mana-mana pihak dan individu yang chauvanist, berkepentingan peribadi, mahukan populariti supaya berhenti daripada menodai keharmonian dan asas kenegaraan kita.

Peranan Majlis Raja-Raja juga membuktikan pengorbanan, jasa, legasi dan kedaulatan Kesultanan Melayu ketika mencapai kemerdekaan mahupun pada waktu aman dan kritikal sepanjang 50 tahun ini masih memberi makna yang besar kepada hidup dan kesinambungan negeri ini.

Berhentilah daripada mengkhianati kalau mahu terus hidup bersama negara ini dan nikmati keharmonian yang ada. Elakkanlah pergeseran dan pertelingkahan, khususnya hal ehwal berkaitan mana-mana sentimen kaum dan agama. Kita sudah tiada masa untuk chauvanisme dan populariti, Malaysia perlu terus mengorak langkah maju dan meredah pelbagai cabaran domestik dan global.