2.12.2009

HIMPUNAN MENJUNJUNG SETIA "DAULAT TUANKU"

Senario politik terbaru di negeri Perak ternyata telah membuka lembaran baru kepada sejarah negara ini. Institusi raja yang selama ini dipandang mulia dan tinggi oleh rakyat yang terbanyak telah mulai dilihat sebagai sebuah institusi yang negatif oleh kelompok-kelompok rakyat yang tertentu.

Tindakan-tindakan yang dilakukan bermula dengan demonstrasi dan akhirnya ke peringkat menyaman terhadap Ke bawah DYM Sultan Perak telah menyebabkan berlaku kekeliruan kepada rakyat tentang institusi raja dan perundangan.

Persepsi negatif yang dibina oleh pihak-pihak tertentu ini, ternyata sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan telah mencalar dan memalukan institusi Raja Berperlembagaan di negara ini yang merupakan sebahagian daripada sejarah dan sistem berkerajaan di bumi Malaysia ini. Selama ini, Institusi Raja-raja telah berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Sehubungan dengan itu, menyedari keadaan bahawa Institusi Raja ini tidak boleh dibiarkan bersendirian dalam menghadapi situasi krisis sebegini maka dengan rasa tanggungjawab dan kesetiaan, Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menganjurkan satu perhimpunan yang digelar Himpunan Menjunjung Setia "Daulat Tuanku!" secara besar-besaran di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada jam 8.00 malam, Khamis, 19 Februari 2009.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berkata, perhimpunan ini bukan bertujuan untuk mencipta dan bermusuh dengan mana-mana pihak tetapi ia adalah satu langkah yang positif ke arah untuk menyatukan suara hati generasi muda secara lebih tersusun dan konstruktif bagi menyatakan sumpah taat setia dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kedaulatan Institusi Raja-raja dan Sistem Raja Beperlembagaan.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai golongan masyarakat, termasuk kelompok profesional, bukan profesional, pertubuhan politik, agama, kebajikan dan seni pertahanan diri adalah diseru untuk menyertainya.

Adalah menjadi harapan Pemuda BN bahawa perhimpunan ini akan menjadi satu indikator kepada seluruh masyarakat bahawa kita semua boleh berpolitik dan berbeza pandangan dengan mana-mana pihak termasuk dengan pihak istana sekalipun tetapi ianya tidak boleh melampaui batasan susila.

Kesedaran bahawa hukum perundangan adalah hukum yang sah dari segi perlembagaan adalah perlu tetapi jatuh letak sesuatu pihak dalam usaha mengheret institusi raja ke ruang pengadilan hanya kerana dibayangi oleh sentimen politik dan kuasa adalah sesuatu yang dangkal dari segi nilai dan pemikiran. Ia tidak boleh sama sekali dibiarkan menjadi amalan kita kerana dibimbangi berkecenderungan akan menjadi satu budaya.

Oleh itu, secara tegas, perhimpunan ini berpendirian untuk mempertahankan kedaulatan institusi Raja dan akan mengambil tanggungjawab mempertahankan kemuliaan Sultan-sultan dari sebarang bentuk yang merendah, mencemuh, mempertikai dan menghina institusi Raja oleh mana-mana pihak sekalipun, yang dilakukan sama ada secara perbuatan mahu pun pengucapan.

Perhimpunan ini juga diharapkan akan menjadi titik tolak mutakhir agar rakyat dapat melihat semula secara lebih positif hubungan harmoni antara Istana dan rakyat dengan berlandaskan adat dan tradisi bangsa turun temurun, dalam semangat negara berperlembagaan dan rakyat bersultan. Selama ini, Institusi Raja-raja telah berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

No comments: