6.15.2009

Pemuda Mulakan Inisiatif Perjuang Nasib Masyarakat Bandar di Kg Kerinchi



Jika sebelum ini tumpuan diberikan kepada kawasan luar bandar, Pemuda UMNO hari ini meletakkan keutamaan untuk mendekati masyarakat dalam bandar khususnya mendekati golongan muda.

Sebagai inisiatif ke arah itu Pemuda UMNO menerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandarnya telah mengadakan program Sehari Bersama Pemuda UMNO Malaysia di Bandar di PPR Kampung Kerinchi, Lembah Pantai.

Selain aktiviti gotong royong membersihkan kawasan, program sehari itu turut mengadakan majlis dialog bersama masyarakat setempat, sukan rakyat, mengunjungi rumah penduduk, mengadakan klinik kesihatan bergerak, pertandingan melukis bagi kanak-kanak, beramah mesra dengan penjual dan pengunjung di gerai-gerai berdekatan serta kenduri rakyat.

Mengulas program berkenaan, Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya kini memberi penumpuan dan penekanan kepada penduduk di kawasan bandar dalam usaha mendekatkan diri dengan golongan muda di kawasan tersebut.

Jelas beliau inisiatif ini dilakukan memandangkan sebelum ini tumpuan banyak diberikan kepada kawasan luar bandar sedangkan banyak masalah serta ramai pengundi khususnya di kalangan golongan muda berada di dalam bandar.

“Menerusi program ini kita akan mendekatkan diri dengan pengundi muda di kawasan bandar serta mengenal pasti permasalahan mereka.

"Jika sebelum ini Pemuda lebih banyak turun padang dan menumpukan pada golongan muda di luar bandar, kini tiba masanya untuk Pemuda melebarkan sayap perkhidmatannya kepada penduduk muda di kawasan bandar," katanya selepas mengadakan gotong royong bersama masyarakat di PPR Kampung Kerinchi di sini.

Menerusi program yang diadakan kata beliau lagi Pemuda telah mengenalpasti beberapa masalah sebenar yang dihadapi penduduk bandar yang lebih menjurus kepada masalah perumahan.

“Sepanjang pertemuan dengan penduduk di kawasan ini kita dapati kebanyakan isu yang dibangkitkan penduduk adalah berkiatan masalah perumahan seperti pengurusan sampah, persekitaran, tempat letak kereta serta permintaan untuk membeli rumah berkenaan daripada hanya disewakan.

"Kesemua permasalahan yang dibangkitkan ini akan kita perjuangkan dan kami akan berusaha untuk membantu mereka mendapat peluang untuk hidup lebih selesa agar mereka tidak rasa kehimpitan tinggal di bandar," ujarnya.

Pada masa yang sama jelasnya lagi Pemuda turut akan menumpukan usaha membuka peluang dalam ekonomi seperti membantu masyarakat bandar mendapat peluang berniaga bagi kehidupan yang lebih selesa.

Sebelum ini Sekretariat Hal Ehwal Bandar yang dipengerusikan Tengku Azman Tengku Zainal Abidin turut telah mengadakan beberapa dialong dengan masyarakat bandar bukan sahaja di Kuala Lumpur malah di Pulau Pinang dan Selangor.

No comments: